Assalamualaikum wbt dan Salam Muafakat Johor.
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa syukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya saya dipinjamkan usia dan nyawa di pagi hari ini dan seterusnya membolehkan saya untuk terus membuat sedikit coretan pada pagi ini. Tidak lupa juga Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda.
Okay, Alhamdulillah saya telah tercalon sebagai Calon Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi Negeri Johor Darul Ta'zim. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakan dan sahabat yang mencadang serta menyatakan sokongan yang sangat baik kepada diri saya. Pada mulanya saya amat berat untuk menerima pencalonan ini tetapi setelah bertemu dengan beberapa rakan karib, bertemu dengan 'otai-otai' yang telah banyak pengalaman dalam pertubuhan NGO, saya dengan rendah diri menerima pencalonan tersebut bernawaitukan Kerana Allah SWT. Isu menang atau kalah adalah perkara kedua. Yang tersirat sebenarnya kita dapat bersatu dan merapatkan ukhuwah di kalangan belia bangsa Malaysia.
Dalam usia yang masih muda, saya yakin banyak kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri ini. Tetapi, dalam pada masa yang sama semua kekurangan itu akan cuba di atasi dan saya akan lakukan yang terbaik sekiranya tercalon sebagai Ahli Parlimen Belia kelak. Sesungguhnya manusia seperti kita tidak sempurna keseluruhannya dan hanya Allah SWT sahaja yang bersifat Maha Sempurna.
Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang kepada sahabat-sahabat belia semata-mata untuk meraih undi. Suka saya untuk berkongsi bersama sahabat-sahabat sekalian, saya akan menjadi pendesak dan lantang bersuara dalam memberikan cadangan dan idea kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup, ekonomi, dan sosial di kalangan belia. Cadangan dari sahabat-sahabat belia, soal selidik dan data-data lengkap akan dikenalpasti dan dicerna untuk menjadikannya satu isu seterusnya diangkat di dalam Parlimen Belia untuk diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan.
Oleh yang demikian, besarlah harapan saya sekiranya sahabat-sahabat belia sekalian dapat membuat keputusan yang bijak untuk memilih calon anda mewakili suara anda di dalam Parlimen Belia Malaysia kelak. Apepun, saya nak attach banner saya di sini.. Mungkin x berapa kemas dan cantik sebab baru berjinak-jinak dengan dunia Photoshop. Hehehe... Selamat Mengundi dari saya. Wassalam.